ATHENS: Sebanyak empat pencari suaka warga Afghanistan masing-masing dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun oleh sebuah mahkamah di Greece selepas didakwa memulakan kebakaran sehingga memusnahkan kem pelarian terbesar Eropah pada tahun lalu.
Lapor BBC, peguam bela berkata, kesemua lelaki itu didapati bersalah atas tuduhan membakar kem pelarian tersebut dengan sengaja.
Bagaimanapun, empat individu itu menafikan tuduhan tersebut.
Kebakaran yang memusnahkan Kem Moria di Pulau Lesbos mengakibatkan hampir 13,000 orang hilang tempat tinggal.
Insiden kebakaran itu berlaku pada September tahun lalu ketika ketegangan semakin meningkat berhubung sekatan dikenakan untuk mengekang penularan Covid-19.
Pihak pembelaan menyifatkan perbicaraan tersebut sebagai tidak adil.
Menurut pihak pembela, tiga tertuduh mempunyai dokumen yang menunjukkan mereka berumur dibawah 18 tahun ketika penahanan dibuat, namun tidak diiktiraf sebagai kanak-kanak bawah umur oleh pihak berkuasa Greece.
Perbicaraan itu sebahagian besar berdasarkan pada keterangan seorang lagi pencari suaka warga Afghanistan yang mengenal pasti semua tertuduh.
Pihak pembelaan mendakwa anak guamnya diperangkap hanya kerana mereka merupakan Hazaras, sebuah kumpulan etnik minoriti di Afghanistan.
Pada Mac lalu, dua pemuda warga Afghanistan dihukum kes yang sama dan dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun.
Kem Moria ditubuhkan untuk menempatkan 3,000 pelarian namun ia menjadi sesak selepas sebahagian besar golongan itu mula tiba pada tahun 2015.
Sebahagian besar pelarian yang tinggal di kem itu adalah dari negara Asia Barat, Afrika dan Asia Selatan. – AGENSI