JAWA BARAT: Sebuah keluarga terkejut apabila mendapati harga nasi putih di sebuah restoran di Tawangmangu pada harga lima juta rupiah (RM1,437).
Tribunnews melaporkan, lebih memeranjatkan apabila harga nasi ayam yang dijual adalah 36 juta rupiah (RM10,400).
Kisah itu dimuat naik oleh pengguna TikTok, Hananda Praditasari yang memaparkan kertas putih yang tertulis daftar harga menu makanan kerana terperanjat dengan harga yang diletakkan.
Wanita berusia 25 tahun itu berkata, ketika memesan makanan, dia dan keluarganya tidak melihat senarai menu itu.
“Selepas membuat pesanan baru kami melihat menu tersebut dan kami tidak mahu membuat pesanan makanan lain kerana harga itu terlalu melampau,” katanya.
Namun, dia nekad bertanyakan mengenai harga menu itu kepada pelayan restoran bagi mendapatkan kepastian.
Pelayan itu tertawa dan menjelaskan harga itu adalah kesilapan daripada pihaknya.