JAKARTA: Pertamina memaklumkan kebakaran yang berlaku di sebuah loji penapis minyak yang terletak di Cilacap, Jawa Tengah, berjaya dipadamkan.
Menurut syarikat minyak dan gas nasional Indonesia itu, insiden kebakaran itu tidak menjejaskan stok di loji penapis minyak itu.
Jelas syarikat itu, kebakaran tersebut berlaku pada Jumaat lalu di bahagian penyimpanan tangki.
Rakaman video yang disiarkan di televisyen menunjukkan api yang marak dan kepulan asap tebal kelihatan dari loji penapis minyak berkenaan.
Menurut Pertamina, loji di Cilacap mempunyai 200 tangki minyak dan berupaya memproses 348,000 tong minyak sehari.
Pegawai Pertamina, Djoko Priyono dalam kenyataan memberitahu kebakaran di loji penapis minyak itu berjaya dipadamkan pagi semalam dan kini dalam proses penyejukan.
“Semuanya dalam keadaan baik dan kebakaran di loji penapis minyak itu berjaya dipadamkan,” katanya sambil menambah bekalan LPG dan bahan api tidak terjejas dalam kejadian tersebut.
Seorang jurucakap Pertamina memaklumkan satu siasatan untuk mengenal pasti punca kebakaran sedang dijalankan.
Ia merupakan insiden kebakaran kedua yang berlaku di loji penapis minyak milik Pertamina selepas sebuah kemudahan di Barat Jawa terbakar pada Mac lalu. – REUTERS