JAKARTA: Azmi Ramadan, 5, dilahirkan dengan hanya satu buah pinggang dan sturuktur wajah yang tidak sempurna seperti kanak-kanak lain.
Namun, keadaan itu tidak menghalang Azmi untuk menikmati zaman kanak-kanaknya dengan riang dan seadanya.
Ibunya, Fitri Apriliana, 30, tidak pernah menyangka anak ketiganya akan dilahirkan sedemikian.
Pada 24 Jun 2016, Azmi lahir dalam keadaan mata yang tertutup, bibir sumbing serta tidak memiliki rongga mulut.
“Saya amat terkejut melihat keadaan Azmi macam itu kerana doktor tidak memaklumkan sebarang kejanggalan ketika saya mengandung.
“Saya pernah terjatuh ketika mengandungkan Azmi, namun tidak pasti jika itu penyebab kepada kecacatan anak saya,” katanya kepada Kompas.com.
Namun, keadaan Azmi kini semakin baik selepas menjalani dua pembedahan iaitu untuk mengubah bibir sumbing dan rongga mulut.
Fitri juga memaklumkan anaknya ditawarkan untuk pembedahan membentuk hidung, namun dia menyerahkan kepada Azmi untuk membuat keputusan.
“Azmi sudah pandai menilai keadaan dirinya. Biar dia putuskan sama ada untuk jalani pembedahan atau tidak. Kami kasihankan dia.
“Ketika ini, kami hanya ingin memberikan yang terbaik kepada Azmi, kami mahu dia hidup gembira biarpun fizikalnya tidak sempurna,” ujar Fitri.
Ibu bapa Azmi kini bertungkus lumus menyediakan perbelanjaan untuk menyekolahkannya.
Kata bapanya, barangan keperluan sekolah khas memerlukan perbelanjaan tinggi dan mereka masih berusaha mengumpul duit.