Kami tetap ditindas dan terseksa - penduduk Gaza - Utusan Malaysia

Kami tetap ditindas dan terseksa – penduduk Gaza

BEBERAPA kanak-kanak Palestin menaiki kenderaan roda tiga ketika melalui runtuhan bangunan di akibat serangan Zionis di Gaza City. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMALLAH: Hampir kebanyakan penduduk Palestin di Tebing Barat dan Gaza menolak perubahan politik dalam kerajaan Israel dengan menyifatkannya ‘tiada apa yang akan berubah’.

Mereka menegaskan, agenda menggantikan Benjamin Netanyahu dengan Naftali Bennett tetap tidak akan membebaskan penduduk Palestin daripada cengkaman Zionis kerana kedua-duanya ‘mempunyai kezaliman yang sama’.

Bennett yang merupakan pemimpin nasionalis bakal menjadi Perdana Menteri Israel baharu di bawah kerajaan pakatan yang dipersetujui oleh beberapa parti politik di wilayah tersebut.

Jika Bennett mengambil alih tampuk pentadbiran, maka berakhirlah penguasaan Netanyahu selama 12 tahun di Israel.

Seorang penduduk Palestin, Ahmed Rezik, 29, berkata, tiada apa yang berbeza antara pentadbiran Netanyahu dan Bennett atau dengan mana-mana pemimpin Israel akan datang sekali pun.

“Baik serta buruk mereka hanya berfungsi untuk Israel dan bila melibatkan penduduk Palestin, kami hanya menerima yang paling teruk dan kejam.

“Biarpun pemimpin Israel terus silih berganti, kehidupan kami tetap ditindas, tanah kami dirampas dan tiada apa yang berubah,” katanya.

Selain itu, pergerakan Hamas yang mentadbir Semenanjung Gaza turut melontarkan pandangan sama dengan menegaskan, misi Israel untuk merampas bumi Palestin tetap akan diteruskan biarpun Netanyahu disingkirkan.

Jurucakap Hamas, Hazem Qassem berkata, penduduk Palestin sudah menyaksikan puluhan perubahan kerajaan Israel, sama ada melibatkan parti berhaluan kanan, kiri atau tengah.

“Namun, apabila melibatkan kebebasan rakyat Palestin, semua parti Zionis bersatu hati menindas kami, mereka bersetuju atas apa sahaja perkara untuk rampas hak kami.

“Rakyat Palestin tetap tidak mempunyai pilihan, selain menentang Zionis untuk cari kemerdekaan kami sendiri sehingga ke titisan darah terakhir,” ujarnya.

Bagi Bassem al-Salhi iaitu wakil Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Bennett disifatkan ‘kurang agresif’ berbanding Netanyahu.

Dalam pada itu, parti Arab Israel, Ra’am turut bersetuju menyertai kerajaan pakatan tersebut dan pemimpinnya, Mansour Abbas menyatakan pakatan itu dapat meningkatkan pembangunan infrastruktur di pekan-pekan Arab yang ditadbirnya.

Namun, persetujuan beliau disifatkan sebagai berpaling tadah oleh penduduk Palestin di Tebing Barat dan Gaza kerana menyebelahi musuh (Israel). – REUTERS/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya