JEDDAH: Sebagai usaha berterusan menangani penularan Covid-19, bakal jemaah tidak boleh menunaikan haji sekiranya tidak memiliki kad pintar dan permit rasmi.
Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Abdulfattah Mashat berkata, permit haji akan dipadankan dengan kad elektronik serta kad pengenalan jemaah.
Langkah itu menunjukkan tiada jemaah boleh menipu permit untuk menunaikan haji pada tahun ini.
“Mana-mana agensi yang menawarkan pakej haji di luar platform kementerian adalah tidak sah dan salah di sisi undang-undang.
“Bagi tahun ini, jemaah hanya menggunakan permit menerusi platform Absher dan kesemua dokumen serta pakej haji yang dibeli akan disambung dengan platform tersebut,” katanya kepada Arab News.
Jelas Abdulfattah, lebih 470,000 permohonan permit haji diterima sehingga semalam dengan semuanya memenuhi kriteria ditetapkan iaitu sudah menerima vaksin dan tidak pernah menunaikan haji.
Dalam pada itu, kementerian turut menggesa semua bakal jemaah untuk mengikuti perkembangan semasa untuk mengemas kini status kesihatan sebelum musim haji bermula.
“Jemaah yang mengesyaki mereka dijangkiti Covid-19 atau mempunyai gejala perlu segera berjumpa dengan doktor bagi memastikan keselamatan jemaah lain,” ujar Abdulfattah.
Kementerian tersebut sebelum ini mengumumkan seramai 60,000 jemaah terdiri dari rakyat dan golongan ekspatriat Arab Saudi dibenarkan tunai haji pada tahun ini yang akan bermula tengah Julai.