MICHIGAN: Seorang wanita kulit hitam didenda sebanyak AS$385 (RM1,585) selepas jirannya mengadu kepada pihak polis dia ‘bercakap terlampau kuat’ dengan seseorang di dalam telefon.
Ketika kejadian, Diamond Robinson sedang berjalan ke rumahnya di Eastpointe, Michigan sambil bercakap di dalam telefon, 27 Mei lalu.
Tiba-tiba, jirannya berkulit putih yang baru berpindah ke kawasan itu menghampirinya dan meminta supaya dia menamatkan perbualan atau bercakap lebih perlahan.
Robinson kemudian menjawab kepada wanita itu supaya menjauhkan dirinya serta merta.
Namun, tidak sampai beberapa minit selepas itu, pihak polis tiba di lokasi kejadian dan Robinson merekodkan insiden tersebut menerusi Facebook Live.
“Saya berharap awak semua tahu perkara ini direkodkan. Saya tidak berbuat apa-apa kesalahan kerana hanya berjalan seperti biasa dan bercakap di telefon,” katanya.
Disebabkan kejadian itu, wanita tersebut kecewa kerana dia menjadi mangsa sasaran berkulit hitam dan didenda atas alasan mengganggu ketenteraman awam. -AGENSI