TEXAS: Pengasas Amazon, Jeff Bezos yang merupakan lelaki paling terkaya di dunia merancang untuk ke angkasa lepas bulan depan dengan roket Blue Origin.
Seperti kenderaan angkasa lepas lain, Virgin Galactic dan SpaceX, Blue Origin berharap akan dapat menawarkan perjalanan kepada orang ramai dengan mengenakan bayaran suatu hari nanti.
Bezos membuat pengumuman akan melakukan penjelajahan itu bersama abang dan seorang individu lain, 20 Julai depan.
Roket itu dijangka berlepas dari tapak pelepasan Blue Origin di Gunung Guadalupe, West Texas.
Bagaimanapun, di sebalik hasrat itu, satu petisyen dalam talian dilancarkan supaya Bezos dihalang mendarat semula ke bumi.
Petisyen yang tersedia dalam change.org menjelaskan sebab kenapa Bezos tidak dibenarkan kembali ke bumi secara sinis dengan menyatakan beberapa alasan teori konspirasi.
“Jeff Bezos sebenarnya adalah Lex Luthor yang menyamar sebagai pemilik rangkaian kedai runcit dalam talian yang sangat berjaya.
“Namun, dia sebenarnya adalah penguasa jahat yang menguasai dominasi global. Kami mengetahui perkara ini sejak bertahun-tahun sebelum ini.
“Bezos bekerjasama dengan Epsteins dan Knights Templar serta Free Masons untuk menguasai dunia,” kata petisyen itu.
Petisyen itu turut menjelaskan ini adalah peluang terakhir sebelum mikrocip 5G diaktifkan dan mereka melakukan pengambilalihan secara besar-besaran.
Petisyen tersebut sudah berlangsung selama seminggu dan mempunyai lebih daripada 18,000 tandatangan. -AGENSI