NEW YORK: Pengasas Amazon, Jeff Bezos mengumumkan beliau bersama adiknya akan `melancong’ ke angkasa lepas dalam penerbangan pertama disertai kru yang dilancarkan oleh syarikatnya, Blue Origin.
Beliau bersama Mark Bezos akan mengembara ke angkasa lepas pada bulan depan dengan menaiki kapsul dikenali sebagai New Shepard.
Lapor BBC, Bezos memaklumkan pengembaraan ke angkasa lepas adalah sesuatu yang mahu dilakukan sepanjang hidupnya.
“Pada 20 Julai nanti, saya akan ke sana dengan adik saya.
“Ia bakal menjadi pengembaraan paling hebat bersama rakan baik saya,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Mark menerusi satu video pula menyifatkan pengembaraan angkasa lepas itu sebagai peluang yang luar biasa.
Dilaporkan, Blue Origin membuka bidaan untuk satu tempat duduk di dalam kapsul bagi membolehkan seorang lagi individu menyertai adik-beradik itu dalam penerbangan kru sulung ke angkasa lepas.
Setakat ini, bidaan tempat duduk itu sudah mencecah AS$2.8 juta (RM11.53 juta).
Lelongan itu akan berakhir pada 12 Jun ini.
Kapsul New Shepard mampu mendarat secara menegak di tanah setelah kembali dari angkasa lepas.
Kapsul itu dinamakan sempena Alan Shepard yang merupakan individu kedua dan warga Amerika Syarikat (AS) pertama mengembara ke angkasa lepas.
Menurut laman sesawang Blue Origin, syarikat itu merancang untuk melancarkan pesawatnya lebih 100 kilometer (km) atas permukaan Bumi bagi menawarkan penumpangnya pengalaman merasai mikrograviti.