SURABAYA: Jawa Timur berisiko dilanda gempa bumi sekuat 8.9 skala Richter dan tsunami setinggi 29 meter.
Berdasarkan modul pengiraan potensi gempa dan tsunami yang dilakukan oleh Badan Meteorologi, Iklim dan Geofizik (BMKG), ukuran tersebut dinilai berdasarkan data yang dikumpul sebelum ini.
Ketua BMKG, Dwikorita Karnawati berkata, tsunami setinggi 26 hingga 29 meter boleh melanda semua kawasan pesisir pantai di daerah Trenggalek.
“Ombak tsunami dijangka tiba di pesisir pantai dalam tempoh 20 hingga 24 minit selepas gempa berlaku,” katanya kepada Tribunnews.
Penyelaras Bidang Pemantauan dan Maklumat BMKG Stesen Geofizik, Pasuruan Suwarto berkata, terdapat dua sumber gempa bumi yang kuat di Jawa Timur.
Katanya, jika potensi gempa bumi adalah tinggi, begitu juga dengan ancaman tsunami.
“Namun, BMKG mempunyai pelbagai kajian pengurangan kesan bencana yang boleh digunakan untuk membantu rakyat sekiranya berlaku gempa bumi dan tsunami.
“Semua pihak, terutamanya yang tinggal di kawasan berhampiran pantai perlu sentiasa berwaspada dan menyiapkan diri untuk berdepan sebarang kemungkinan,” ujarnya.
Antara langkah yang boleh dipraktikkan termasuk sering berlatih langkah keselamatan jika berlaku gempa.
Sementara itu, terdapat 14 jenis bencana lain yang boleh berlaku di Jawa Timur iaitu banjir, kemarau, letusan gunung berapi, kebakaran hutan dan tanah runtuh.