BAITULMUQADDIS: Pasukan tentera Israel melancarkan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza pada awal pagi tadi.
Tentera zionis mendakwa serangan udara itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap serangan belon api yang dilancarkan di selatan Israel.
Serangan udara baharu itu tercetus selepas Israel dan Hamas bersetuju melakukan gencatan senjata pada 21 Mei lalu untuk menghentikan konflik selama 11 hari di Gaza.
Lapor BBC, beberapa letupan kedengaran di bandar Gaza pada awal pagi tadi.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dalam satu kenyataan menyatakan, serangan udara itu dilancarkan ke atas sebuah kem latihan Hamas di Khan Yunis dan bandar Gaza.
Berdasarkan beberapa laporan media tempatan, tiada penduduk Gaza mengalami kecederaan dalam serangan udara itu. – AGENSI