TEL AVIV: Israel bukan sahaja gentar malah mengajak komuniti antarabangsa lain melahirkan kebimbangan terhadap pelantikan Presiden Iran baharu, Ebrahim Raisi.
Lapor BBC, kebimbangan itu disuarakan oleh jurucakap Kementerian Luar Israel, Lior Haiat yang menyifatkan Ebrahim sebagai presiden Iran paling ekstrem.
Dia turut memberi amaran pemimpin baharu itu akan meningkatkan aktiviti senjata nuklear Iran.
Haiat menerusi Twitter rasminya berkata, Ebrahim adalah tokoh ekstremis dan bertanggungjawab terhadap program pembangunan senjata nuklear.
Iran dan Israel bergelut sejak sekian lama dalam ‘perang bayang-bayang’ dan cuba mengelakkan konflik besar-besaran.
Namun, sejak akhir-akhir ini permusuhan antara kedua-dua negara itu semakin meningkat.
Iran menyalahkan Israel terhadap pembunuhan saintis nuklear paling hebat di negara itu, tahun lalu serta serangan terhadap loji pengayaan uranium, April lalu.
Ulama ultra konservatif, Ebrahim memenangi pilihan raya presiden Iran selepas menewaskan tiga calon lain.
Ebrahim, 60, mengambil alih tampuk pemerintahan pada waktu kritikal ketika Iran cuba merundingkan semula perjanjian nuklear dengan negara-negara kuasa besar.