GAZA: Pejuang Hamas mengesahkan serangan udara Israel menyasarkan sebuah kem latihan di Khan Yunis, namun sehingga kini belum ada sebarang ada kenyataan yang memutuskan untuk membalas semua serangan itu.
Jurucakap Hamas memberitahu agensi berita Reuters penduduk Palestin akan terus mempertahankan hak mereka.
Awal pagi semalam, tentera Israel melancarkan serangan udara sebagai tindak balas terhadap serangan belon api yang dilancarkan penduduk Palestin di selatan Israel.
Serangan belon api itu dikatakan mencetuskan sekurang-kurangnya 20 kejadian kebakaran.
Belon api itu dilepaskan semasa 1,000 penduduk Yahudi berarak di kota lama Baitulmuqaddis kelmarin.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dalam kenyataan memaklumkan, serangan itu dilancarkan ke atas sebuah kem latihan Hamas dan bandar Gaza.
Difahamkan, tiada penduduk Gaza mengalami kecederaan akibat serangan udara itu.
Disebabkan itu, saluran berita Israeli Kan melaporkan pihak berkuasa Israel terpaksa mengubah destinasi pelepasan dan pendaratan pesawat di Lapangan Terbang Ben Gurion kerana kebimbangan serangan balas dari pejuang Hamas.
Serangan baharu itu tercetus hanya beberapa minggu selepas konflik 11 hari dan gencatan senjata dipersetujui antara kedua-dua belah pihak.
Mei lalu, serangan udara Israel mengorbankan seramai 256 rakyat Palestin termasuk 66 kanak-kanak, sementara, serangan balas Hamas berjaya membunuh 12 orang termasuk dua kanak-kanak.
PERARAKAN BENDERA CETUS KETEGANGAN
Perarakan Bendera oleh penduduk penempatan haram di Israel bermula dari pintu gerbang Damsyik ke pekarangan Masjid Al-Aqsa.
Perarakan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 17 penduduk Palestin ditangkap dan 33 individu lain cedera selepas polis Israel melepaskan tembakan di pintu gerbang Damsyik.
Penduduk yang mengambil bahagian itu membawa bendera Israel sengaja mencetuskan provokasi dengan melakukan penghinaan secara terang-terangan terhadap rakyat Palestin.
Mereka bukan sahaja menghina bangsa Arab dengan menyebut ‘mati orang Arab’, bahkan bertindak biadab dengan mencela Nabi Muhammad SAW.
Perarakan Bendera pertama dilakukan penduduk Israel pada 1974 sempena menyambut kemenangan Zionis menakluki bahagian timur Baitulmuqaddis pada Jun 1967.