JAKARTA: Jumlah kes jangkitan baharu Covid-19 di Indonesia dilaporkan melonjak semula selepas merekodkan lebih 12,000 kes harian semalam, menjadikan angka kumulatif bertambah kepada 1,950,276 kes.
Berdasarkan data Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), sebanyak 12,624 kes baharu dicatatkan, manakala 277 kematian berlaku dalam tempoh 24 jam, dengan jumlah keseluruhan korban akibat Covid-19 adalah seramai 53,753.
Jumlah kes jangkitan harian baharu di negara ini pernah dicatatkan bawah 4,000 sebelum sambutan Aidilfitri.
Dari pukul 12 tengah hari kemarin sehingga 12 tengah hari semalam, jumlah pesakit sembuh adalah 7,350 orang, menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang sembuh 1,771,220 orang.
Peningkatan kes itu dikaitkan dengan aktiviti ‘mudik’ atau pulang ke kampung ketika Hari Raya Aidilfitri dan kemunculan varian baharu Delta B1617.2 dan Beta B1351 yang menyebabkan kadar jangkitan lebih cepat serta meluas.
Kehadiran meluas varian itu di Indonesia itu dinyatakan oleh Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin.
Beliau mengatakan varian itu dikesan dalam sampel yang diambil di Jakarta; Kudus di Jawa Tengah, dan Bangkalan di Jawa Timur, lapor The Jakarta Post semalam. – AGENSI