BANGALORE: Sebuah syarikat penerbangan berjaya menjalankan ujian pertama penghantaran jarak jauh menggunakan dron di India.
Ujian penerbangan itu dilakukan dengan harapan syarikat tersebut dapat menghantar ubat-ubatan dan vaksin Covid-19 ke kawasan pedalaman di negara tersebut.
Beberapa pakar berpandangan penggunaan dron secara meluas bakal menjadi `game changer’ bagi perkhidmatan perubatan di kawasan luar bandar yang sukar dicapai di India yang mana penjagaan kesihatan terhad dan keadaan jalan raya buruk.
Throttle Aerospace Systems merupakan antara 20 syarikat yang mendapat permit kerajaan untuk menjalankan ujian penerbangan melepasi had 450 meter yang ditetapkan.
Sebanyak dua dron diuji di Karnataka, Bangalore semalam.
Dua dron berkenaan terdiri daripada sebuah unit yang mampu membawa muatan sehingga satu kilogram (kg) sejauh 20 kilometer (km) atau hampir sejam manakala satu lagi
seberat 2kg sejauh 15km.
“Dron tersebut membawa muatan ubat-ubatan dan ia berjaya meliputi kawasan sejauh 2.5km dalam tempoh tujuh minit.
“Dron itu juga menghantar ubat-ubatan itu ke lokasi ditetapkan dan kembali semula,” kata pengasas bersama, Throttle Aerospace Systems, Sebastian Anto kepada AFP di lokasi ujian penerbangan di Karnataka.
Awal bulan ini, kerajaan membuka bidaan kepada para pengendali dron bagi membantu melaksanakan projek perintis untuk menghantar bekalan perubatan dalam usaha meningkatkan program vaksinasi Covid-19 negara itu. – AFP