CAPE TOWN: Seekor ikan yang disangka pupus bersama dinosaur 66 juta tahun lalu ditemui hidup dan sihat sejak 1938 di pantai timur Afrika Selatan.
Saintis berkata, kajian baharu mengenai hidupan laut itu menunjukkan ikan itu mempunyai jangka hayat sekitar lima kali ganda lebih lama berbanding ikan lain bersamaan satu abad.
Spesies betina pula akan mengandung selama lima tahun iaitu tempoh kehamilan paling lama dalam kalangan haiwan.
Ikan coelacanth berkembang dalam kadar paling lambat berbanding spesies ikan lain dan tidak mencapai kematangan seksual sehingga mencecah usia 55 tahun.
Ahli Biologi Marin dari Institusi Oseanografi Perancis, Kelig Mahe berkata, para penyelidik menggunakan cincin pertumbuhan tahunan yang diletakkan pada sisik ikan untuk menentukan usia coelacanths.
Ikan itu dikatakan pertama kali muncul kira-kira 400 juta tahun lalu, kira-kira 170 juta tahun sebelum kewujudan dinosaur.
Berdasarkan catatan fosil, haiwan itu dianggap sudah hilang semasa kepupusan besar-besaran yang menghapuskan sekitar tiga perempat spesies bumi selepas serangan asteroid.
Coelacanth tinggal di kedalaman 800 meter dari paras laut dan pada waktu siang mereka tinggal di gua gunung berapi atau dalam kumpulan kecil.
Spesies betina boleh berkembang lebih besar daripada jantan sehingga mencecah dua meter dengan berat 110 kilogram. -REUTERS