REYKJAVIK: Iceland menjadi negara Eropah pertama yang melonggarkan sekatan Covid-19 dengan tidak perlu lagi memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal.
Menteri Kesihatan, Svandis Svavarsdottir berkata, semua peraturan tempatan ditarik semula tengah malam tadi selaras cadangan oleh Ketua Epidemiologi, Porolfur Guonason.
Peraturan semasa mengehadkan bilangan kehadiran 300 tetamu dalam mana-mana majlis, pemakaian wajib pelitup muka dalam aktiviti tertentu dan penjarakan fizikal satu meter.
“Kami memulihkan semula kehidupan normal masyarakat yang sudah lama dirindui.
“Saya harap kita telah mencapai tahap yang tidak perlu lagi memperketatkan langkah-langkah kawalan di pintu sempadan.
“Vaksin bukanlah 100 peratus berkesan tetapi sekurang-kurangnya dapat mencegah jangkitan penyakit serius,” katanya.
Iceland melaksanakan perintah sekatan beberapa kali sejak tahun lalu dalam usaha membendung penularan wabak.
Negara itu hanya merekodkan 6,555 jumlah kes keseluruhan dengan 29 kes kematian.