MOSCOW: Seorang lelaki dilaporkan terselamat selepas menembak mukanya menggunakan senapang patah dalam satu cubaan bunuh diri, 16 Februari lalu.
Lapor The Sun, Mikhail Vladimirov, 45, dari Rusia kini mengalami kecacatan di muka termasuk kehilangan rahang dan hidungnya selepas insiden tersebut.
Vladimirov cuba membunuh diri kerana mengalami masalah kewangan di pekan Kotelniki berhampiran Moscow.
Beberapa media Rusia melaporkan, pada hari kejadian Vladimirov meninggalkan rumahnya kira-kira pukul 4 pagi (waktu tempatan) dengan membawa senapang patah dimilikinya bersama beberapa peluru pelet.
Berdasarkan beberapa laporan, lelaki itu menghabiskan beberapa jam memandu sekitar bandar tersebut dengan sebuah kereta sewa.
Menurut pegawai penyiasat, pada suatu ketika, Vladimirov menghentikan kereta di tepi jalan dan kemudian mengacukan senapang ke arah mukanya lalu menembak.
Media melaporkan tembakan itu menjejaskan hampir sebahagian muka Vladimirov namun dia masih selamat kerana peluru itu tidak menembusi bahagian otaknya.
Seorang wanita yang berada di tempat kejadian dilaporkan menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan.
Vladimirov kemudian dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.