SAN FRANCISCO: Seorang wanita gelandangan berusia 49 tahun dilaporkan meninggal dunia tanpa menuntut harta peninggalan ibunya yang bernilai hampir AS$1 juta (RM4.12 juta) di bank.
Lapor Metro, Cathy Boone meninggal dunia selepas jatuh sakit di sebuah pusat perlindungan di Astoria, Oregon pada Januari tahun lalu.
Boone tinggal di jalanan selama kira-kira empat tahun selepas ibunya meninggal dunia pada 2016.
Bapa Boone, Jack Spithill berkata, kematian isterinya telah mengakibatkan anaknya mengalami masalah kesihatan mental dan terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Selepas ibunya meninggal dunia, seorang hakim mahkamah mengarahkan harta pusaka bernilai AS$884,407 (RM3.65 juta) diserahkan kepada Boone pada 2019.
Lapor 12 News, pihak berkuasa cuba sedaya upaya untuk menghubungi Boone dan apabila gagal mengesannya, wang peninggalan ibunya disimpan di sebuah bank bagi membolehkan wanita itu
menuntutnya.
Namun, selepas enam bulan perintah mahkamah itu, Boone mengalami masalah pernafasan ketika tinggal di Pusat Perlindungan Astoria Warming di Oregon sebelum meninggal dunia di hospital.
Menurut Spithill, dia tidak pasti sama ada Boone mengetahui mengenai wang berkenaan atau cara untuk mendapatkannya.
Spithill memberitahu Boone menjalani kehidupan yang amat sukar dan amat memerlukan wang pada ketika itu.
Menurut beberapa rakan Boone, mereka tidak mengetahui Boone memiliki wang yang banyak di bank.