NEW DELHI: Satu video yang memaparkan seekor gajah mengamuk selepas mendengar bunyi letupan mercun di sebuah majlis perkahwinan di India, menjadi tular dalam media sosial.
Lapor Metro, pengantin lelaki, Anand Tripathi yang menunggang gajah tersebut untuk ke majlis perkahwinannya, sempat melarikan diri selepas haiwan itu mengamuk.
Dilaporkan, gajah itu terkejut dengan bunyi letupan mercun sehingga menyebabkannya bertindak liar lalu mencetuskan kekecohan di majlis perkahwinan yang diadakan di Uttar Pradesh, India pada Jumaat lalu.
Gajah itu memusnahkan harta benda di sekitar kawasan tersebut termasuk merosakkan enam buah kereta dan beberapa motosikal.
Sepasukan pegawai dari jabatan perlindungan hidupan liar dan perhutanan kemudian tiba untuk mengawal gajah berkenaan.
Menurut polis, tiada orang mengalami kecederaan dalam insiden tersebut. – AGENSI