Eropah bakal bebas pelitup muka - Utusan Malaysia

Eropah bakal bebas pelitup muka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Ketika banyak negara terus bergelut dengan pandemik Covid-19, benua Eropah pula dilihat semakin selesa sehingga memutuskan untuk melonggarkan pemakaian pelitup muka di tempat awam.

Beberapa negara di Eropah menarik balik arahan penggunaan pelitup muka secara mandatori susulan penurunan kes Covid-19 di benua itu dan kempen vaksinasi yang semakin agresif.

Baru-baru ini, Perancis mengumumkan untuk menarik balik arahan mewajibkan pemakaian pelitup muka bermula Khamis depan.

Penduduk negara itu hanya perlu memakai pelitup muka ketika menaiki pengangkutan awam, di stadium atau tempat yang sesak.

Malah, perintah berkurung yang dilaksanakan di negara itu juga akan ditarik balik bermula hari ini.

Kerajaan Austria pula mengumumkan akan menarik semula peraturan pemakaian pelitup muka di luar rumah bermula 1 Julai depan.

Di Sepanyol, Perdana Menteri, Pedro Sanchez memaklumkan negara itu akan menarik semula arahan wajib pemakaian pelitup muka di tempat awam bermula 26 Jun ini.

Jelas beliau, langkah itu berikutan kempen vaksinasi Covid-19 semakin pantas selepas 3.5 juta dos suntikan vaksin telah diberikan sejak minggu lalu.

Di Belgium pula, arahan berhubung pemakaian wajib pelitup muka di tempat awam kecuali di kawasan sesak, sudah pun berakhir pada 9 Jun lalu.

Tindakan itu selepas negara itu menyaksikan penurunan ketara kes kemasukan ke hospital akibat Covid-19 dan peningkatan dalam vaksinasi.

Jerman mempertimbangkan untuk melonggarkan pemakaian pelitup muka selepas kes Covid-19 mencatatkan penurunan sejak beberapa minggu lalu.

Menteri Kesihatannya, Jens Spahn berkata, langkah itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama membabitkan pelonggaran pemakaian pelitup muka di kawasan luar.

Dilaporkan, kira-kira 40 juta penduduk di Jerman sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19 yang merangkumi hampir 50 peratus populasi negara itu.

Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte mengumumkan pelitup muka tidak akan diperlukan lagi di negara itu dan beberapa sekatan Covid-19 bakal dilonggarkan bermula minggu depan.

Kata Rutte, sebahagian besar sekatan dikenakan terhadap kumpulan juga akan ditarik balik bermula 26 Jun ini selagi penduduk dapat mengamalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1.5 meter.

“Ini merupakan detik istimewa buat penduduk Belanda. Banyak kali saya hanya mengumumkan apa yang tidak boleh dilakukan tetapi kini kita boleh fokus pada apa yang boleh dilaksanakan,” katanya dalam sidang akhbar. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya