BAITULMUQADDIS: Seorang doktor Palestin maut ditembak oleh tentera Israel di Kampung Hizma, timur laut Baitulmuqaddis.
Dr. Mai Afanah, 29, ditembak dalam kereta yang dipandunya selepas tentera Israel mendakwa kononnya dia mahu melanggar salah seorang anggota tentera di situ.
Beberapa bulan lalu, Afanah pernah memuat naik status dalam Facebook mengenai dirinya yang tidak akan berganjak walau seinci di tanah kelahirannya.
“Kami akan terus kekal di sini, sama ada syahid atau menang,” tulisnya.
Serangan terbaharu itu berlaku selepas Perarakan Bendera oleh penduduk penempatan haram di Israel bermula dari pintu gerbang Damsyik ke pekarangan Masjid Al-Aqsa.
Perarakan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 17 penduduk Palestin ditangkap dan 33 individu lain cedera selepas polis Israel melepaskan tembakan di pintu gerbang Damsyik.
Penduduk yang mengambil bahagian itu membawa bendera Israel sengaja mencetuskan provokasi dengan melakukan penghinaan secara terang-terangan terhadap rakyat Palestin. -AGENSI