MIAMI: Seorang wanita dari Florida yang menyangka akaun banknya mempunyai baki simpanan berjumlah hampir AS$1 bilion (RM4.1 bilion) yang dimasukkan secara tidak sengaja sekali gus menjadikannya jutawan, sebenarnya merupakan kesilapan.
Lapor Metro, seorang jurucakap bank Chase berkata, akaun bank Julia Yonowski telah dibekukan kerana dipercayai ada kaitan dengan aktiviti penipuan.
Menurut jurucakap itu, wang sejumlah AS$999,985,855.94 (RM4,164,517,002.19) yang didakwa telah dipindahkan ke akaun bank Yonowski sebenarnya merupakan baki negatif hampir AS$1 bilion.
Jelasnya, akaun bank Yonowski menunjukkan jumlah baki simpanan negatif yang melampau kerana sistem pencegahan penipuan telah diaktifkan untuk membekukan akaun tersebut.
“Sistem itu diaktifkan dan mendiang suami Yonowski merupakan pemegang akaun simpanan bersama.
“Apabila wanita itu cuba menggunakan akaun itu, bank akan menyenaraikannya sebagai aktiviti mencurigakan,” katanya.
Tambah jurucakap itu, pelanggan yang mengalami situasi demikian sepatutnya mengisi dokumen berkaitan untuk mengelakkan akaun simpanan bersama mereka dibekukan.
Semalam, Yonowski dikatakan menjadi jutawan sekelip mata dan individu ke-615 paling kaya di Amerika Syarikat (AS) selepas mendakwa akaun banknya mempunyai baki simpanan hampir AS$1 bilion.
Yonowski yang berasal dari Largo menyedari perkara itu ketika mahu mengeluarkan wang sebanyak AS$20 (RM83) dan memeriksa baki akaun simpanannya di mesin juruwang automatik (ATM), Sabtu lalu
Katanya, pihak bank mungkin melakukan kesilapan dengan memindahkan sejumlah wang tersebut ke akaun simpanannya.
Menurut Yonowski, dia sudah menghubungi bank Chase beberapa kali untuk memaklumkan perkara itu namun tiada pekerja membalas panggilannya. – AGENSI