SINGAPURA: Seorang wanita Singapura dihukum penjara selama 30 tahun kerana mendera, membiarkan kelaparan dan membunuh seorang pembantu rumah warga Myanmar.
Pihak pendakwa raya menyifatkan tindakan suspek, Gaiyathiri Murugayan yang merupakan isteri kepada anggota polis adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Murugayan, 40, mengaku bersalah atas beberapa pertuduhan termasuk perbuatan membunuh.
Semasa sesi perbicaraan, mahkamah dimaklumkan suspek mendera mangsa sejak Oktober 2015 sejurus Piang tiba di Singapura yang merupakan kerja pertamanya di luar negara.
Kejadian itu berjaya dirakamkan oleh kamera litar tertutup (CCTV) di dalam rumah itu.
Mangsa bukan sahaja menderita ditekap seterika yang masih panas, malah, hanya diberikan makan sekeping roti yang direndam dalam air atau sedikit nasi sehingga menyebabkan dia kehilangan berat 15 kilogram (kg) dalam tempoh 14 bulan.
Kejadian itu merupakan kes penderaan pembantu rumah berprofil tinggi sejak beberapa tahun di negara itu.
Mangsa, Piang Ngaih Don, 24, hanya mempunyai berat 24 kg semasa ditemukan mati pada 2016.