BOGOTA: Kerajaan Colombia menawarkan ganjaran wang tunai sebanyak tiga bilion peso untuk maklumat mengenai insiden serangan terhadap helikopter membawa Presiden, Ivan Duque.
Lapor BBC, Menteri Pertahanan, Diego Molano menawarkan ganjaran tersebut kepada mana-mana individu mempunyai maklumat yang membantu membawa kepada penahanan pihak melakukan serangan tersebut.
Kelmarin, sebuah helikopter yang membawa Duque, Molano, Menteri Dalam Negeri, Daniel Palacios dan beberapa pegawai lain diserang dengan beberapa tembakan.
Kejadian itu berlaku ketika helikopter tersebut menghampiri lapangan terbang di Cucuta berdekatan sempadan Venezuela.
Beberapa gambar yang dikeluarkan menunjukkan bahagian ekor dan rotor helikopter terkena tembakan.
Dilaporkan tiada orang cedera dalam insiden tersebut.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) mengutuk serangan berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Jeneral Jorge Vargas berkata, pihaknya menemui dua senapang di kawasan kejiranan Cucuta.
Katanya, dua senapang itu terdiri daripada AK-47 dan senapang berkaliber 7.62 yang dikatakan digunakan dalam serangan tersebut.
Jelas Vargas, senapang berkaliber 7.62 itu mempunyai tanda pasukan bersenjata Venezuela. – AGENSI