LONDON: Impian seorang lelaki untuk menjadikan saat melamar kekasihnya sebagai detik paling istimewa bertukar cemas selepas cincin pertunangan bernilai 4,500 pound (RM26,414) terjatuh ke dalam tasik sebaik sahaja selesai membuat lamaran itu.
Lapor Metro, Vik Patel dari Edmonton, utara London menghabiskan masa beberapa bulan merancang lamaran yang sempurna untuk teman wanitanya, Rebecca Chaukria, 26.
Namun, ketika Patel melamar Chaukria di sebuah lokasi romantik di Tasik Windermere, cincin pertunangan itu terjatuh ke dalam tasik ketika dia mahu menyarungkannya pada jari kekasihnya.
Pasangan kekasih itu kemudian melakukan pelbagai cara untuk mendapatkan semula cincin itu termasuk menggunakan magnet dan menyelam ke dalam tasik namun gagal menemuinya.
Akhirnya, seorang penyelam dari Lake District Diving, Angus Hosking, 22, menawarkan bantuan untuk mencari cincin tersebut.
Hosking berjaya menemui cincin pertunangan pasangan itu dalam masa 20 minit.
“Saya merancang beberapa perkara tetapi semua itu terpaksa dibatalkan kerana sekatan Covid-19.
“Pada petang Sabtu ketika cuaca baik dan pemandangan sangat indah, saya melamar Chaukria di tepi jeti Tasik Windermere.
“Setelah melamar dan kami berdiri, cincin itu meluncur dari jari Chaukria dan terjatuh ke dalam tasik. Namun, syukur semuanya baik sahaja,” katanya.