China masih laksana undang-undang kejam - Utusan Malaysia

China masih laksana undang-undang kejam

LAKARAN gambar bilik tahanan RSDL berdasarkan testimoni tahanan. -SAFEGUARD DEFENDERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China semakin giat menangkap individu tanpa memberikan hak perbicaraan sekali gus menunjukkan negara itu masih mengamalkan sistem undang-undang tidak berperikemanusiaan.

Menurut aktivis hak asasi manusia, Safeguard Defenders, seramai 10,000 tahanan dikenakan ‘pengawasan kediaman di lokasi tertentu’ (RSDL).

Para penyelidik menggabungkan pangkalan data mahkamah rasmi China bagi mengenal pasti hampir 23,000 kes di seluruh negara yang digunakan sejak 2013, selepas perubahan dalam undang-undang China yang memberi kuasa kepada anggota polis menahan individu tanpa sebarang perbicaraan.

Mereka juga mendapatkan testimoni daripada tahanan yang melalui pengalaman di RSDL bagi mengetahui bagaimana sistem rahsia itu berfungsi bermula daripada diculik sehingga menjalani rutin harian, disoal siasat dan penyeksaan di penjara rahsia.

Sistem RSDL membolehkan pihak berkuasa menahan individu selama berbulan-bulan tanpa sebarang pertuduhan atau perbicaraan yang digambarkan sebagai ‘penculikan yang mendapat persetujuan negara’.

Safeguard Defenders merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memfokuskan kepada hak asasi manusia di Asia.

NGO itu memberi amaran kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa China akan melanggar piawaian hak asasi manusia secara global sekiranya masyarakat antarabangsa tidak memaksa Beijing bertanggungjawab terhadap RSDL yang dilaksanakan.

MODUS OPERANDI

RSDL diguna pakai terhadap aktivis hak asasi manusia China dan warganegara asing termasuk wartawan, Cheng Lei dan penulis, Yang Hengjun dari Australia, serta rakyat Kanada, Michael Kovrig dan Michael Spavor.

Pihak berkuasa China sehingga kini merahsiakan lokasi penjara yang tidak dikenal pasti itu, walaupun NGO mengesyaki beberapa lokasi berdasarkan tulisan pengakuan di beberapa akhbar.

Laporan tersebut mendedahkan bagaimana tahanan ditangkap dari kediaman, pejabat atau tempat awam dengan dipakaikan penutup mata bagi menyembunyikan tujuan mereka.

Seorang aktivis hak asasi manusia, Tang Zhishun yang ditahan pada 2015 berkata, mereka diletakkan dalam sel berasingan tanpa sebarang cahaya matahari.

Individu-individu yang selamat menceritakan semula mereka diperhatikan sepanjang masa oleh penjaga bilik sehingga mengikuti mereka ke bilik mandi, namun, tidak berinteraksi dengan mereka.

“Jangan bercakap! Jangan bergerak tanpa kebenaran! Angkat tangan jika ingin berkata apa-apa,” antara perintah yang disenaraikan mangsa.

Ramai tahanan dilaporkan menghabiskan masa selama berjam-jam setiap hari dengan duduk tanpa bergerak di bangku atau kerusi.

Lebih menakutkan apabila mereka dipaksa minum ubat yang tidak diketahui jenisnya sehingga menyebabkan masalah mental.

JUMLAH KES RSDL

Sehingga bulan ini, Mahkamah China merekodkan sebanyak 22,845 kes berkaitan pra-perbicaraan RSDL dan tiada kes mengenai keselamatan nasional yang pernah dimasukkan ke dalam sistem.

“Anggaran ini hanya untuk individu yang telah atau akan menghadapi perbicaraan serta mempunyai keputusan yang dikeluarkan oleh mahkamah.

“Sebilangan besar jumlah yang tidak diketahui tidak akan menghadapi perbicaraan setelah dimasukkan ke RSDL malah, kes-kes tersebut tidak dapat dikenal pasti dalam data rasmi,” kata kumpulan itu menerusi surat kepada PBB.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya