BEIJING: Kerajaan China meluluskan vaksin Covid-19 Sinovac Biotech Ltd untuk penggunaan kecemasan bagi golongan individu berusia antara tiga hingga 17 tahun.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Sinovac Biotech Ltd, Yin Weidong yang disiarkan di televisyen tempatan negara itu.
Menurut Weidong, pemberian vaksin Sinovac kepada golongan muda itu akan bergantung kepada pihak kesihatan yang merangka strategi inokulasi China.
Jelas Weidong, golongan kanak-kanak dibawah umur mempunyai keutamaan lebih rendah untuk vaksinasi terhadap Covid-19 berbanding golongan dewasa yang berdepan risiko gejala lebih serius selepas jangkitan.
Hasil ujian klinikal tahap I dan II menunjukkan vaksin boleh mencetuskan tindak baas imun pada individu berusia tiga hingga 17 tahun.
Tambahnya, kebanyakan kes reaksi buruk adalah sangat ringan.
Setakat 3 Jun lalu, sebanyak 723.5 juta dos vaksin telah diberikan dibawah program vaksinasi Covid-19 China.
Kempen vaksinasi besar-besaran itu pada masa ini hanya dilaksanakan kepada penduduk berumur 18 tahun ke atas. – REUTERS