BADHOEVEDORP: Mahkamah Belanda hari ini mula mendengar keterangan terhadap tiga suspek warga Rusia dan seorang warga Ukraine yang didakwa menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 ketika melalui ruang udara kawasan bergolak Ukraine, 2014.
Perbicaraan secara rasmi telah bermula sejak Mac tahun lalu, tetapi hanya membabitkan hujahan terutamanya mengenai penerimaan kemasukan bahan bukti kejadian nahas pesawat yang menyebabkan 298 penumpang dan anak kapal terbunuh.
Tiga suspek warganegara Rusia ialah Oleg Pulatov, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky, manakala, seorang rakyat Ukraine, Leonid Kharchenko semuanya dibicarakan secara in absentia (tidak hadir). Hanya Pulatov diwakili peguam.
“Mahkamah memulakan perbicaraan jenayah MH17 dengan mengenal pasti dan membincangkan isi kandungan fail pendakwaan serta menjelaskan persoalan-persoalan utama yang dikemukakan.
“Adakah pesawat MH17 ditembak oleh peluru berpandu BUK? Adakah peluru berpandu BUK dilancarkan dari kawasan pertanian berdekatan Pervomaiskyi? Adakah tertuduh memainkan peranan dalam nahas itu?” kata mahkamah dalam satu kenyataan.
Pesawat Boeing 777 itu melakukan penerbangan dari Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014, sebelum ditembak jatuh di timur Ukraine yang dikuasai oleh kumpulan pemberontak pro-Rusia.
Hasil siasatan antarabangsa mendapati peluru berpandu BUK adalah milik Briged Peluru Berpandu Anti-Pesawat ke-53 tentera Rusia yang berpusat di bandar Kursk bertanggungjawab terhadap insiden tersebut.
Kesemua suspek dituduh sebagai dalang utama adalah sebahagian daripada kumpulan pemberontak pemisah yang berperang dengan Kiew.
Perbicaraan itu diadakan di sebuah mahkamah dijaga rapi berdekatan Lapangan Terbang Schipol yang merupakan lokasi pesawat malang itu berlepas dan dibicarakan di Belanda kerana 196 mangsa adalah rakyat negara itu.
Menurut mahkamah, hari ini pendengaran terhadap merit bermula dengan topik umum termasuk perkembangan siasatan oleh majistret pemeriksa, disusuli perbincangan selama tiga hari bermula esok.