DUBLIN: Seorang bayi perempuan berusia tiga bulan dilaporkan meninggal dunia selepas diserang seekor anjing di Clashmore, County Waterford, Ireland.
Lapor BBC, kejadian itu berlaku di sebuah rumah di perkampungan Clashmore pada pagi semalam.
Polis dan ahli paramedik memberi bantuan kecemasan kepada bayi berkenaan di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Universiti Cork.
Namun, bayi tersebut disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Bedah siasat terhadap mayat bayi itu akan dilakukan di hospital tersebut.
Dilaporkan, anggota Biro Teknikal Polis Ireland akan melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.
Menurut polis Ireland, pihaknya sedang menyiasat kes itu secara menyeluruh dengan mengambil kira semua kemungkinan menyebabkan insiden tersebut.