MINNESOTA: Seorang bayi lelaki yang dilahirkan dengan berat kurang 0.4 kilogram menyambut hari jadi pertamanya, sekali gus menjadikannya sebagai bayi paling tidak cukup bulan dilahirkan dan terselamat.
Apabila Richard Scott William Hutchinson dilahirkan awal lima bulan dari tarikh yang sepatutnya, para doktor bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Kelahiran Hutchinson diiktiraf oleh Rekod Dunia Guiness sebagai bayi paling tidak cukup bulan dilahirkan di dunia.
Bayi lelaki itu dilahirkan di Hospital Kanak-Kanak Minnesota selepas ibunya, Beth Hutchinson mengalami komplikasi yang menyebabkan dia perlu bersalin awal.
Dilahirkan seawal 131 hari dari jangkaan dengan berat 0.33 kilogram, Hutchinson sangat kecil sehinggakan ibu bapanya boleh meletaknya atas tapak tangan mereka.
Pakar perubatan, Dr. Stacy Kern berkata, beberapa minggu pertama kehidupan Hutchinson amat sukar, namun dia yakin bayi lelaki itu akan selamat dan mempunyai semangat tinggi.
Selepas ditahan selama enam bulan dalam hospital, pada Disember 2020, Hutchinson dibenarkan pulang ke rumah ibu bapanya.
Pada 5 Jun lalu, bayi lelaki itu menyambut hari jadi pertamanya bersama keluarga tersayang. – AGENSI