BANGKOK: Satu video yang menunjukkan seorang bapa lengkap mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) menaiki motosikal untuk membawa anaknya yang dijangkiti Covid-19 ke hospital lapangan menjadi tular dalam media sosial di Thailand.
Lapor Nation Thailand, lelaki tersebut mengetahui anaknya dijangkiti Covid-19 ketika menjalani kuarantin di sebuah pusat di daerah Khlong Toei, di sini.
“Pihak berkuasa kesihatan meminta anak saya menunggu ketibaan pegawai perubatan untuk membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
“Namun, lepas beberapa hari, mereka belum datang mengambil anak saya dan kerana tidak mahu terus menunggu, saya membuat keputusan untuk menghantar sendiri anak ke hospital lapangan,” katanya.
Lelaki itu memberitahu, dia sanggup membeli PPE untuk menghantar anaknya kerana mahu anaknya dirawat segera.
“Saya menangis sepanjang perjalanan menghantar anak saya ke hospital. Walaupun kami terpaksa berpisah, namun saya sanggup buat apa sahaja bagi memastikan anak sihat,” ujarnya.
Video tersebut yang dimuat naik dalam TikTok ditonton lebih 477,000 pengguna media sosial dan menerima 3,600 komen.
Lelaki itu kemudiannya memuat naik satu lagi video menunjukkan dia menghubungi anaknya dan menyatakan dia lega kerana kesihatan anaknya semakin baik.