WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menyalurkan bantuan tahunan ketenteraan kepada Israel sebanyak AS$3.8 bilion (RM15.6 bilion), tahun lalu.
Lapor BBC, sokongan itu merupakan sebahagian daripada perjanjian yang ditandatangani oleh bekas Presiden AS, Barack Obama pada 2016 menerusi pakej bantuan keseluruhan bernilai AS$38 bilion (RM156 bilion) bagi bantuan ketenteraan untuk tempoh 2017 hingga 2028.
Angka itu menyaksikan peningkatan tambahan sebanyak enam peratus daripada keseluruhan komitmen yang diperuntukkan.
Malah, tahun lalu juga AS memperuntukkan sebanyak AS$5 juta (RM20 juta) bagi menempatkan semula pendatang ke Israel.
Negara haram itu sudah lama mengamalkan polisi menerima bangsa Yahudi dari negara lain sebagai rakyat mereka.
BAGAIMANA ISRAEL GUNAKAN DANA?
Sepanjang tahun, AS membantu Israel membangunkan aset ketenteraan dengan bantuan dana bagi membolehkan mereka menerima kelengkapan ketenteraan paling canggih di dunia.
Sebagai contoh, Israel membeli pesawat tempur 50 F-35 yang boleh digunakan ketika serangan peluru berpandu.
Sebanyak 27 pesawat berjumlah AS$100 juta (RM411 juta) sudah dihantar ke Israel
Sejak 2011, AS menyumbangkan AS$1.6 bilion (RM6.5 bilion) kepada sistem pertahanan Iron Dome Israel.
Israel turut menghabiskan berjuta-juta untuk bekerjasama dengan AS mengembangkan teknologi ketenteraan seperti sistem mengesan terowong bawah tanah yang digunakan untuk menyusup masuk ke Israel.
KENAPA AS BAGI TERLALU BANYAK BANTUAN?
Terdapat banyak sebab kenapa AS memberikan begitu banyak bantuan kepada Israel termasuk komitmen bersejarah sejak sokongan AS untuk mewujudkan negara haram Yahudi pada 1948.
Tambahan pula, Israel dilihat oleh AS sebagai rakan sekutu penting di Asia Barat.
Perkhidmatan Penyelidikan Kongres AS sudah lama menguar-uarkan bantuan luar AS menjadi komponen utama dalam memperkukuhkan hubungan.
“Pegawai AS dan ramai penggubal undang-undang sudah lama menganggap Israel sebagai rakan penting di rantau ini,” katanya.