WASHINGTON: Pusat Kawalan Dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (CDC) Amerika Syarikat (AS) mengenakan larangan pengimportan anjing dari 113 negara selama setahun susulan kebimbangan jangkitan rabies.
Lapor BBC, larangan itu membabitkan semua jenis anjing termasuk yang pernah berada di negara berisiko tinggi jangkitan rabies selama enam bulan lalu.
Larangan selama setahun itu berkuatkuasa mulai 14 Julai depan dan akan dikaji semula secara berkala.
Antara negara dikenakan larangan pengimportan anjing itu termasuk Kenya, Mesir, Brazil dan Rusia.
Pengumuman itu dibuat ditengah-tengah lonjakan dalam pengimportan anjing susulan dijadikan sebagai haiwan angkat sepanjang pandemik Covid-19.
Menurut CDC, ratusan anjing tersebut mempunyai sijil palsu rabies.
“Tindakan ini amat perlu untuk memastikan kesihatan dan keselamatan anjing yang diimport ke AS terjamin.
“Ia juga bagi melindungi kesihatan orang awam terhadap jangkitan semula varian virus rabies anjing,” jelas agensi itu. – AGENSI