SHANGHAI: Pakar epidemiologi China menegaskan Amerika Syarikat (AS) sepatutnya menjadi keutamaan dalam fasa penyiasatan asal usul Covid-19 yang seterusnya.
Hal ini kerana, satu kajian mendapati jangkitan Covid-19 sudah pun merebak di AS seawal Disember 2019.
Kajian tersebut yang diterbitkan minggu ini oleh Institut Kesihatan Kebangsaan AS (NIH) menunjukkan sekurang-kurangnya tujuh orang di lima negara di AS dijangkiti Covid-19, beberapa minggu sebelum negara itu melaporkan kes pertama koronavirus.
Ketua Epidemiologi Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan China, Zeng Guang memberitahu Global Times, perhatian kini sepatutnya beralih kepada AS kerana negara itu juga mempunyai banyak makmal biologi.
Satu kajian bersama antara China dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang diterbitkan pada Mac lalu menyatakan virus Covid-19 berkemungkinan besar berasal dari sektor perdagangan haiwan eksotik di negara itu.
Kajian itu menyebut virus berkenaan menjangkiti manusia dari kelawar menerusi haiwan perantaraan.
Namun, Beijing mewar-warkan teori bahawa Covid-19 memasuki China dari luar negara menerusi makanan sejuk beku yang dicemari dengan koronavirus.
Kelmarin, jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian menyatakan kini jelas menunjukkan Covid-19 boleh berasal dari pelbagai sumber dan tempat, selain ‘negara yang terlibat’ perlu bekerjasama dengan WHO.
Isu berkaitan asal usul Covid-19 menjadi ‘sumber utama’ pertikaian politik antara China dan AS dengan Institut Virologi Wuhan didakwa menyebabkan kebocoran koronavirus. – REUTERS