RIYADH: Jemaah haji di Masjidil Haram tidak perlu menunggu lama untuk beratur bagi menghilangkan dahaga kerana sebuah robot membawa air ZamZam disediakan dalam kawasan masjid.
Arab News melaporkan, mesin itu dipamerkan semalam dan akan bergerak di sekeliling masjid dan membolehkan jemaah mahupun petugas mengambil botol minuman tanpa perlu berkongsi semasa melintasi di hadapan mereka.
Presiden Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Abdulrahman Al-Sudais berkata, sangat penting menggunakan teknologi terkini bagi memastikan keselamatan jemaah terutamanya ketika musim pandemik Covid-19.
Katanya, robot itu direka khas untuk mengurangkan kesesakan dan memastikan penjarakan fizikal dalam kalangan jemaah.
“Robot pintar itu direka untuk mengedarkan air Zamzam tanpa melibatkan sebarang sentuhan,” katanya.
Sejak pandemik melanda, Arab Saudi melancarkan beberapa langkah untuk mengurangkan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan jemaah haji.
Tahun ini, bilangan jemaah haji hanya dihadkan kepada 60,000 orang sahaja berbanding 2.5 juta jemaah sebelum ini.
Ibadah itu hanya melibatkan penduduk Arab Saudi dan individu dari luar negara tidak dibenarkan sama sekali.
#WATCH: A #robot has been set to work at the #GrandMosque in #Makkah delivering Zamzam water to pilgrims https://t.co/p22H4C4ruc pic.twitter.com/SElODQL5zj
— Arab News (@arabnews) June 13, 2021