JEDDAH: Kerajaan Arab Saudi membebaskan dua aktivis wanita terkemuka yang ditahan selama hampir tiga tahun.
Lapor Al Jazeera, sebuah kumpulan hak asasi mengesahkan berita pembebasan aktivis hak asasi, Samar Badawi dan Nassima al-Sadah.
“Samar dan Nassima telah dibebaskan selepas tamat hukuman yang dikenakan terhadap mereka,” kata kumpulan hak asasi manusia ALQST menerusi ciapan di Twitter.
Dua aktivis wanita itu ditahan pada Ogos 2018 sebagai sebahagian tindakan kekerasan pemerintah terhadap perbezaan pendapat yang aman.
Sebahagian besar daripada puluhan individu yang dipenjarakan memperjuangkan hak wanita untuk memandu dan menggesa menghapuskan sistem lelaki sebagai penjaga atau wali.
Dilaporkan, Samar pernah menerima anugerah International Women of Courage Award pada tahun 2012 atas keberaniannya termasuk mencabar sistem wali itu.
Samar juga merupakan antara wanita pertama yang menandatangani petisyen mendesak kerajaan membenarkan wanita Arab Saudi memandu, mengundi dan bertanding dalam pilihan raya tempatan.
Beliau merupakan kakak kepada Raif Badawi, aktivis hak asasi terkemuka yang dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun pada 2014 atas tuduhan menghina Islam di blognya.
Nassima juga memperjuangkan hak wanita untuk memandu dan penamatan sistem wali.
Nassima merupakan calon pilihan raya tempatan 2015 yang menyaksikan wanita buat pertama kali bertanding dalam pilihan raya.
Bagaimanapun, pihak berkuasa mengeluarkan namanya daripada senarai calon pilihan raya tempatan itu.
Antara aktivis hak asasi wanita yang ditahan pada 2018 termasuk Eman al-Nafjan, Loujain al-Hathloul, Aziza al-Yousef dan Aisha al-Manea. – AGENSI