LONDON: Anak lelaki kepada Putera Harry dan Meghan Markle, Archie boleh memilih sama ada hendak menjadi putera diraja selepas mencecah usia 18 tahun, lapor Daily Mail.
Penulis biografi diraja terkemuka, Robert Lacey berkata, Duke and Duchess of Sussex boleh mengikut jejak langkah Earl and Countess of Wessex yang tidak menggelarkan anak mereka sebagai ‘putera’ atau ‘puteri’.
Pasangan yang mempunyai anak bernama James dan Louise dikenali sebagai Viscount Severn dan Lady Louise Windsor.
Adik beradik itu yang berada di takhta ke-13 dan ke-14 dalam susur galur diraja mempunyai pilihan sama ada mahu memakai gelaran diraja atau sebaliknya ketika berusia 18 tahun.
Isu itu timbul selepas dakwaan mengatakan Putera Charles akan memastikan cucunya, Archie tidak akan memakai gelaran diraja.
Bagaimanapun, Lacey yang bakal menerbitkan buku edisi terkini, Battle of Brothers menyakini tindakan itu tidak akan dilakukan sama sekali.
“Mustahil Putera Charles akan menggugurkan gelaran diraja dari pasangan Sussex itu apabila tiba takhtanya,” katanya.
Sementara itu, sumber dalaman istana dilaporkan memberitahu Times bahawa Prince of Wales tidak memiliki kuasa untuk menghalang Archie menjadi putera.
Berdasarkan sistem penggiliran sekarang, Archie secara automatik akan menjadi putera ketika Ratu mangkat dan Putera Charles menaiki takhta.