ALGERIA: Negara ini mengambil keputusan membatalkan akreditasi terhadap agensi berita, France 24 sehari selepas pilihan raya Parlimen diadakan.
Jurucakap Kerajaan, Ammar Belhimer berkata, tindakan itu selepas saluran berita satelit itu secara jelas mencetuskan permusuhan terhadap negara ini dan institusi berkaitan.
Belhimer turut menuduh France 24 gagal mengamalkan prinsip dan etika kewartawanan kerana memanipulasi maklumat terhadap Algeria.
Pihaknya sudah memberikan amaran terakhir terhadap agensi berita itu 13 Mac lalu berhubung ‘liputan terhadap himpunan Jumaat’ mengenai gerakan protes anti-kerajaan Hirak.
Syarikat penyiaran dalam kenyataan semalam menjelaskan pihaknya terkejut kerana tidak menerima sebarang penjelasan mengenai protes itu.
Mereka malah menegaskan membuat liputan berita secara telus, jujur dan bebas.
Kerajaan Perancis yang mempunyai hubungan tegang dengan Algeria bagaimanapun tidak membuat sebarang ulasan.
Wartawan tempatan dan antarabangsa di Algeria kerap berhadapan kerenah birokrasi dan prosedur tidak jelas mengenai kebenaran bekerja di negara itu.
Reporters Without Borders (RSF) meletakkan Algeria di tangga 146 dari 180 negara dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2020.