WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menegaskan Afghanistan akan memutuskan nasib masa depan negara itu sendiri.
Biden berjanji akan terus memberikan sokongan kepada negara itu, walaupun AS dan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) akan berundur 11 September depan.
Biden berkata demikian semasa mengadakan pertemuan dengan Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani di White House.
Beliau menggelarkan dirinya dan Ashraf sebagai ‘dua kawan lama’ dan menjelaskan kerjasama antara kedua-dua negara itu ‘tidak akan berakhir’.
“Tentera kita akan berundur, tetapi sokongan kepada Afghanistan tidak akan pernah berakhir,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan terpulang kepada Afghanistan untuk memutuskan apa yang mereka mahu.
Jelasnya, siri keganasan yang tidak masuk akal perlu dihentikan segera di negara itu.
Pertemuan itu berlangsung selepas sehari AS mengumumkan rancangan memindahkan ribuan rakyat Afghanistan yang bekerja dengan ketenteraan AS menjelang tempoh pengunduran tersebut.
AS dan NATO berkata, Taliban setakat ini gagal memenuhi komitmen untuk mengurangkan keganasan di Afghanistan.
Tarikh pengunduran itu bersempena ulangtahun ke-20 serangan pengganas ke atas bangunan World Trade Center dan Pentagon pada 2001.
Lanjutan tarikh pengunduran ini bagi memberi masa yang mencukupi kepada tentera AS menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab keselamatan kepada Taliban.
Ketika ini sejumlah 2,500 anggota tentera AS berkhidmat di Afghanistan. -BBC