WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) semalam meluluskan penggunaan ubat baharu, Aduhelm, untuk merawat pesakit Alzheimer.
Ia adalah ubat baharu yang pertama dalam tempoh hampir dua dekad bagi rawatan penyakit itu, dan yang pertama digunakan untuk menangani penurunan daya kognitif dialami pesakit Alzheimer.
Keputusan itu sangat dinanti-nantikan tetapi pada masa sama, turut hangat diperdebatkan.
Hal ini kerana, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) pada November lepas, mendapati belum ada bukti mencukupi mengenai manfaat Aduhelm lalu mengesyorkan ubat itu tidak boleh diluluskan.
“Aduhelm adalah rawatan pertama memfokus patofisiologi yang mendasari penyakit Alzheimer, kewujudan plak beta amiloid dalam otak,” kata Pengarah FDA, Patrizia Cavazzoni.
Keputusan FDA itu dibuat bawah saluran ‘kelulusan dipercepat’ yang digunakan bagi ubat dipercayai boleh memberi lebih banyak manfaat berbanding rawatan sedia ada, namun masih ada beberapa ketidakpastian.
“Sebagaimana sering berlaku dalam penafsiran data saintifik, komuniti pakar telah memberi perspektif berbeza,” kata Cavazzoni dalam satu kenyataan berhubung kontroversi itu.
Aduhelm ialah sejenis antibodi monoklonal yang turut dikenali dengan nama generik, aducanumab, dan diberikan secara intravena.
Ubat itu sudah menjalani dua ujian peringkat lanjutan terhadap manusia dalam Fasa Ketiga.
Ia menunjukkan pengurangan dari segi kemerosotan daya kognitif, namun tidak secara menyeluruh.
Bagaimanapun, semua kajian mencatat hasil meyakinkan dengan berkurangnya pembinaan sejenis protein dipanggil beta amiloid dalam tisu otak pesakit Alzheimer. – AFP