LONDON: Gangguan seksual di sekolah seolah-olah sudah menjadi satu ‘kebiasaan’ dengan sembilan dari 10 murid perempuan mengaku pernah menerima gambar lucah atau dipanggil dengan istilah seks.
Lapor The Mirror, kanak-kanak lelaki malah tidak janggal berkongsi gambar ‘bogel’ seperti mengumpul ‘koleksi permainan’ dalam WhatsApp dan Snapchat.
Ketua Pemeriksa Sekolah, Amanda Spielman berkata, akses ke teknologi, media sosial dan pornografi dalam talian adalah faktor yang memburukkan lagi keadaan sehingga masalah itu merebak ke sekolah rendah.
Tinjauan mendapati kanak-kanak berumur 10 tahun pernah menghantar gambar bogel dengan satu sekolah merekodkan kes dalam kalangan murid-murid tahun enam dan tujuh.
Sebilangan murid perempuan pula mengaku pernah diraba-raba di koridor sekolah tetapi kebanyakan kesalahan serius berlaku di luar kawasan sekolah.
Tinjauan itu dilakukan terhadap lebih 900 kanak-kanak dan remaja di 32 sekolah negeri dan swasta selepas mereka berkongsikan kisah tanpa identiti diri didedahkan dalam laman web Everyone’s Invited awal tahun ini.
Mangsa pula jarang melaporkan kes gangguan seksual kerana ia kerap terjadi dengan seorang murid mendedahkan penyebaran gambar tidak senonoh merebak dengan pantas.
Akses yang mudah ke laman pornografi dalam talian mengubah pandangan murid lelaki terhadap perempuan yang mengharapkan dapat menjalinkan hubungan.
“Sangat membimbangkan apabila banyak kanak-kanak perempuan merasakan gangguan seksual sebagai sebahagian daripada proses tumbesaran.
“Sama ada ia berlaku di sekolah atau dalam kehidupan sosial, mereka merasakan ia tidak perlu dilaporkan. Sedangkan ini adalah masalah budaya mengenai sikap dan tingkah laku normal kerana pihak sekolah atau kolej tidak boleh menyelesaikannya sendiri,” jelasnya.