CUCUTA: Sekurang-kurangnya 36 orang cedera dalam satu kejadian letupan bom kereta yang berlaku di sebuah pangkalan tentera di bandar Cucuta, Colombia.
Kementerian Pertahanan menerusi kenyataan memaklumkan, beberapa individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai awam telah memandu sebuah van putih ke arah pangkalan tentera pada petang semalam.
Katanya, individu tersebut kemudian bertindak meletupkan bom dalam kenderaan tersebut.
Menteri Pertahanan, Diego Molano berkata, berdasarkan teori awal, anggota Tentera Pembebasan Nasional (ELN) iaitu kumpulan gerila berhaluan kiri merupakan dalang disebalik serangan tersebut.
Molano turut mengecam serangan itu dengan menyifatkannya sebagai tindakan pengganas.
Jelas beliau, penglibatan gerila FARC yang enggan menandatangani perjanjian damai 2016 dengan kerajaan juga antara perkara dalam siasatan.
Presiden Colombia, Ivan Duque menerusi ciapan memaklumkan pihaknya sedang menuju ke lokasi kejadian untuk melihat keadaan tersebut. – AFP