LONDON: Lebih 30 juta penduduk Britain yang sudah menerima dua suntikan vaksin Covid-19 mungkin diberi pengecualian daripada menjalani kuarantin selepas pulang bercuti dari negara zon hijau.
Barisan menteri kini mula meneliti usul tersebut sebelum tarikh akhir pada 28 Jun ini bagi memutuskan sama ada melancong ke luar negara dibolehkan atau sebaliknya.
Menurut sumber kepada The Telegraph, kerajaan United Kingdom (UK) juga merancang untuk mewajibkan vaksin bagi percutian dalam negara, susulan program imunisasi yang dilihat semakin berjaya.
Di bawah usul tersebut, penduduk Britain yang pulang bercuti dari 11 negara zon hijau tidak perlu menjalani kuarantin, manakala mereka yang melancong ke negara lain perlu kuarantin 10 hari di rumah.
“Seperti yang dirancang dalam Pasukan Tugas Pelancongan Global, kami akan bekerjasama dengan industri berkenaan untuk memastikan penduduk Britain dapat melancong ke luar negara dengan selamat bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19.
“Segala keputusan akan dibuat berdasarkan situasi kesihatan semasa,” jelas sumber tersebut.
Selain itu, barisan menteri juga meneliti sama ada sekatan perjalanan yang dilonggarkan boleh melibatkan penduduk Britain yang tiba atau pulang ke negara ini dari destinasi seluruh dunia.
Pengecualian untuk golongan kanak-kanak juga boleh digunakan.
Perubahan itu secara tidak langsung bakal menjadikan Britain sejajar dengan lebih 30 negara termasuk Perancis, Greece, Jerman dan Sepanyol yang membenarkan penduduk sudah divaksin tidak perlu menjalani kuarantin selepas melancong.
Permintaan melancong menggunakan pesawat terjejas teruk apabila UK melaksanakan perintah berkurung pada Mac lalu susulan pandemik Covid-19.
Pemain industri pelancongan kini menggesa kerajaan supaya membenarkan sektor pelancongan antarabangsa bagi memulihkan keadaan.
Pengarah Eksekutif Syarikat Penerbangan UK, Tim Aldeslade berkata, keberkesanan vaksin dalam menentang varian Delta menerusi dua dos suntikan menjadi bukti penumpang pesawat tidak perlu menjalani kuarantin selepas bercuti ke negara zon hijau.
“Keadaan (tidak perlu kuarantin) sudah pun dilakukan di beberapa negara Eropah serta tempat lain dan sebanyak dua per tiga dewasa UK dijangka menerima vaksin penuh menjelang 19 Julai ini, maka percutian boleh dibenarkan.
“Vaksin terbukti boleh menghidupkan semula komuniti dan ekonomi dunia,’ ujarnya. – AGENSI