GAZA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran mengenai 200,000 penduduk Palestin memerlukan bantuan kesihatan kritikal akibat serangan Zionis Israel yang menyebabkan kemusnahan teruk di kawasan kediaman.
Menurut WHO, lebih 77,000 orang hilang tempat tinggal dan 30 fasiliti kesihatan mengalami kerosakan.
“Situasi sekarang sangat tidak menentu. WHO menzahirkan perhatian dan menggesa agar akses kemanusiaan dan pembangunan berkaitan bekalan barang keperluan asas dan pekerja ke Semenanjung Gaza tidak dihalang,” katanya.
Serangan Zionis Israel di Semenanjung Gaza berlangsung selama 11 hari sehingga mengorbankan nyawa 254 rakyat Palestin termasuk 66 kanak-kanak.
Serangan itu turut memusnahkan 1,800 kediaman penduduk dan 74 bangunan awam.
RM66 JUTA DIPERLUKAN
Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Robert Mardini merayu bantuan lebih AS$16 juta (RM66 juta) untuk membantu penduduk di Gaza.
“Ketakutan, kebimbangan dan tekanan adalah ayat yang saya dengar setiap hari ketika memantau keadaan infrastruktur yang hancur di bom oleh Israel.
“Walaupun serangan kali ini lebih pendek berbanding serangan dahulu, namun, ia mengambil masa selama bertahun-tahun untuk membina semula kawasan yang terjejas teruk.
“Dalam masa sama, kita perlu menggandakan sokongan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan di Gaza dalam tempoh jangka pendek ini,” jelasnya.
KOMEN CETUS KEMARAHAN
Dalam pada itu, Pengarah Agensi PBB di Gaza, Matthias Schmale menimbulkan kemarahan rakyat Palestin apabila tidak membantah kenyataan Israel mengenai serangan udara yang dilakukan.
Schmale diwawancara oleh televisyen N12 Israel, 22 Mei lalu sehingga mendorong protes penduduk Palestin.
Sejak menceroboh Palestin, Israel menyekat laluan laut Gaza pada 2007 sehingga menyukarkan kehidupan sekitar dua juta rakyat Palestin di wilayah itu.
Hanya laluan Rafah menjadi penghubung dunia luar yang tidak dikuasai Israel.