Yayasan Bill dan Melinda Gates terancam ? - Utusan Malaysia

Yayasan Bill dan Melinda Gates terancam ?

BJP mendakwa ahli TMC merosakkan harta benda pejabat partinya. - SANJAY DAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Pengumuman penceraian antara Pengasas Microsoft, Bill Gates dan isterinya, Melinda selepas berkahwin selama 27 tahun, mengejutkan seluruh dunia. 

Malah, penceraian itu turut menimbulkan persoalan besar mengenai masa depan Yayasan Bill dan Melinda Gates termasuk kesan yang bakal dihadapi badan amal itu.

*Misi dan bajet yayasan 

Menurut pasangan itu, idea untuk menubuhkan Yayasan Bill dan Melinda Gates tercetus selepas mereka membaca berita mengenai jutaan kanak-kanak di beberapa negara membangun meninggal dunia akibat penyakit yang boleh dirawat secara mudah seperti cirit-birit dan pneumonia.  

Pada 2000, Yayasan Bill dan Melinda Gates dilancarkan untuk memerangi penyakit dan kemiskinan di seluruh dunia.

Dengan memiliki seramai 1,600 kakitangan di pejabat di seluruh dunia, Yayasan Bill dan Melinda Gates menyalurkan kira-kira AS$5 bilion (RM20.59 bilion) setiap tahun dalam bidang kesihatan awam dan pembangunan global. 

Yayasan itu telah membelanjakan AS$ 54.8 bilion  (RM225.7 bilion) sejak penubuhannya.

* Memerangi pandemik Covid-19

Tahun lalu, Yayasan Bill dan Melinda Gates berikrar untuk menyumbang sebanyak AS$250 juta (RM1.02 bilion) dana bagi membantu memerangi pandemik.

Sebahagian besar dana itu disalurkan untuk pengagihan vaksin Covid-19 ke negara Sub-Sahara Afrika  dan Asia Selatan.

Dana itu juga digunakan bagi tujuan ujian pemeriksaan Covid-19, sut peralatan perlindungan diri (PPE), sokongan perkhidmatan kesihatan terutamanya di negara-negara membangun.

Ia juga memainkan peranan penting dalam program perkongsian vaksin COVAX, sebuah inisiatif antarabangsa yang menyediakan bekalan vaksin Covid-19 untuk negara miskin dan berpendapatan rendah.

Menurut yayasan itu, secara keseluruhannya, pihaknya telah membelanjakan sebanyak AS$1.75 bilion (RM7.20 bilion) untuk menangani pandemik Covid-19 sejak ia bermula.

BILL dan Melinda Gates hadir di Elysee Palace, Paris pada April 2017. – AFP

*Siapa kendalikan Yayasan Bill dan Melinda Gates

Bill, 65 dan Melinda, 56 merupakan pengerusi bersama bagi yayasan tersebut manakala pelabur, Warren Buffett adalah pemegang amanah sementara Mark Suzman pula memegang jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif.

Pada awalnya, ketika Bill masih berkhidmat sepenuh masa dengan Microsoft, Melinda dilihat memimpin yayasan tersebut. 

Tahun lalu, Bill melepaskan jawatannya di Microsoft dan Berkshire Hathaway dan menumpukan sepenuh masa dengan Yayasan Bill dan Melinda Gates.

Agak sukar untuk menyatakan siapa yang amat berpengaruh antara mereka bagi yayasan tersebut.

* Sumber dana 

Pasangan Gates memindahkan kira-kira AS$20 bilion (RM82.3 bilion) saham Microsoft ke yayasan tersebut pada awalnya. 

Pada 2006, Buffett mengumumkan bahawa beliau akan menyumbangkan sebahagian besar kekayaannya kepada Yayasan Bill dan Melinda Gates dalam bentuk saham di syarikat miliknya, Berkshire Hathaway. 

Empat tahun kemudian, Gates dan Buffett melancarkan inisiatif Giving Pledge yang menggalakkan para jutawan menyumbangkan sekurang-kurangnya 50 peratus kekayaan mereka untuk tujuan kebajikan termasuk Yayasan Bill dan Melinda Gates.

Sehingga kini, lebih 200 individu terkemuka menyatakan komitmen mereka. 

Yayasan Bill dan Melinda Gates mempunyai dana lebih AS$46 bilion (RM189.5 bilion).

Berdasarkan laporan Investopedia, pada akhir tahun lalu, yayasan ini memiliki saham yang banyak dikuasai oleh Berkshire Hathaway dan Walmart, Caterpillar, syarikat Pengurusan Sisa AS dan Syarikat Kereta Api Nasional Kanada. 

*Kesan penceraian terhadap Yayasan Gates 

Bill yang merupakan individu keempat terkaya di dunia dengan nilai kekayaan sebanyak AS$130 bilion (RM535.5 bilion) bersama Melinda berjanji untuk terus bekerjasama demi kelangsungan yayasan tersebut.

Namun, penceraian pasangan itu bakal mencetuskan persoalan antaranya mengenai kekayaan yang sebahagian besar masih belum disumbangkan kepada yayasan meskipun telah menubuhkan Giving Pledge.  

Masa depan Yayasan Bill dan Melinda Gates boleh bergantung kepada terma kewangan dibawah penceraian itu yang sehingga kini masih belum didedahkan.

Melinda mungkin berhasrat mengikuti jejak MacKenzie Scott yang menyumbang kira-kira AS$6 bilion (RM24.7 bilion) setelah bercerai dengan Pengasas Amazon, Jeff Bezos pada tahun 2019. – AFP

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya