MEXICO: Polis percaya seorang wanita yang tular dalam video TikTok adalah kanak-kanak yang diculik dari kampung halamannya 20 tahun lalu.
Sofia Juarez berumur empat tahun ketika dia dilaporkan hilang sejak Februari 2003 dari Kennewick, Washington.
Sejak itu, dia tidak pernah dilihat malah berita mengenai dirinya tidak kedengaran dan pihak polis berusaha menjejaki wanita itu yang muncul menerusi video dalam talian yang mendakwa dirinya diculik.
Klip video itu dirakam oleh wartawan, Oscar Zazueta di plaza di Culiacan, Mexico.
Wartawan itu bertanyakan soalan kepada wanita tersebut mengenai perasaannya semasa ulang tahun kelahiran seterusnya.
“Saya tidak pernah gembira tentang itu kerana banyak benda dalam kepala saya. Jujurnya, saya tidak suka hari jadi sendiri.
“Saya mahu katakan hai kepada ibu saudara serta mahu mereka mengambil saya kerana saya telah diculik,” luahnya.
Jurucakap polis jabatan Kennewick, Leftenan Aaron Clem berkata, pihaknya mahu menghubungi wanita itu dan berharap mereka dapat membongkar kes yang menghantui kawasan itu selama berdekad lamanya.
“Tujuannya kita mahu mengenal pasti dirinya dan secara sukarela memberikan kepada pihak polis sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA),” katanya. – AGENSI