MINSK: Seorang wanita dikenakan denda sebanyak 650 pound (RM3,736) hanya kerana memakai stokin berwarna merah putih disebabkan ia sepadan dengan warna bendera pergerakan nasionalis pembangkang Belarus.
Lapor Daily Mail, empat lelaki yang memakai `balaclavas’ (serkup kepala) menahan Natalia Sivtsova-Sedushkina selepas dikesan memakai stokin dan kasut warna demikian ketika dalam perjalanan ke sekolah memandu.
Menurut Sedushkina, dia ditahan atas kesalahan berpakaian tidak sesuai kerana memakai warna daripada bendera yang dilarang.
Sedushkina juga dituduh menunjukkan tanda ‘V’ bermaksud victory (kemenangan) kepada orang ramai yang sebahagian besar memberi sokongan kepadanya.
Dari 1991 hingga 1995 dan semasa tempoh lain dalam abad ke-20, bendera jalur merah putih merupakan bendera kebangsaan Belarus dibawah Republik Demokratik Belarus serta bendera untuk nasionalis negara itu.
Namun, Komunis Soviet menggantikannya dengan bendera merah hijau yang menampilkan simbol tukul dan sabit.
Selepas kejatuhan Komunisme, bendera itu diperkenalkan semula tanpa tukul dan sabit oleh Presiden Alexander Lukashenko pada tahun 1995.
Sejak itu, bendera jalur merah dan putih dilihat sebagai simbol pemberontakan menentang pemerintahan Lukashenko.
Sedushkina diarahkan oleh hakim untuk membayar jumlah denda tersebut kerana memakai stokin dan kasut berwarna merah putih yang mudah dikesan semasa dia memakai seluar pendek jeans pada waktu itu.
Dia dikenakan hukuman itu dibawah undang-undang bersifat draconian yang melarang protes tanpa kebenaran di Belarus.
Sebelum ini, Sedushkina pernah dikenakan jumlah denda yang sama kerana bertindak menghiasi balkoni rumahnya dengan ribon warna merah dan putih.