MEKAH: Presiden Hal Ehwal Dua Masjid Suci iaitu Masjidilharam dan Masjid Nabawi memaklumkan pihaknya sudah bersiap sedia menyambut ketibaan jemaah termasuk mereka yang ingin menunaikan umrah pada 10 hari terakhir Ramadan.
Lapor Arab News, sebagai persiapan, lebih 4,000 petugas dikerah melakukan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi di kedua-dua masjid tersebut sebanyak 10 kali sehari.
Lebih 8,000 liter cecair pembasmi kuman dan 1,600 liter wangian digunakan setiap kali sesi pembersihan dilakukan.
Turut disediakan, lebih 500 alat sanitasi automatik bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan dilakukan secara menyeluruh.
Selain itu, pintu tambahan turut dibuka bagi memastikan kelancaran laluan keluar masuk jemaah, termasuk menyediakan laluan khusus untuk golongan yang memerlukan keperluan khas.
Sebanyak 200,000 botol air akan diedarkan di Mataf serta beberapa ruang yang menjadi tumpuan jemaah.
Sementara itu, semburan air juga disediakan di bahagian luar masjid menggunakan 250 kipas yang bertujuan mengurangkan suhu panas di ruang jemaah ketika waktu solat.