WASHINGTON: Satu majlis sambutan hari jadi bertukar tragedi apabila seorang lelaki melepaskan tembakan di dalam sebuah kontena yang dijadikan kediaman, menyebabkan enam orang terbunuh dalam satu kejadian di Colorado.
Polis Colorado dalam satu kenyataan memaklumkan, suspek dipercayai teman lelaki kepada seorang daripada mangsa yang maut dalam kejadian tersebut.
Selepas menembak enam individu terbabit, suspek turut menembak dirinya menyebabkan dia mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.
Polis yang tiba di tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan awal pagi menemukan enam mayat dewasa dengan kesan tembakan dan seorang lelaki yang cedera parah.
“Siasatan awal mendapati suspek yang merupakan teman lelaki seorang daripada mangsa wanita memandu ke lokasi kejadian, masuk ke dalam kontena tersebut dan melepaskan tembakan ke arah mangsa sebelum menembak diri sendiri.
“Punca dan motif kejadian masih dalam siasatan,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, tiada kanak-kanak yang cedera dalam kejadian itu dan mereka kini dijaga oleh anggota keluarga manakala identiti mangsa masih belum dikenal pasti.